Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj

Thursday, May 21, 2009


Presiden UMNO yang kedua merangkap Perdana Menteri Malaysia yang sulung merupakan putera raja yang sangat berdedikasi. Bernama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, beliau turut dikenali sebagai ‘Bapa Kemerdekaan’ kerana dengan berkat usaha beliau dan rakan-rakan, Tanah Melayu telah memperolehi kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Bakat kepimpinan Tunku sudah mula terserlah sejak Tunku menuntut di London lagi. Pada ketika itu, Tunku merupakan Presiden Persatuan Melayu Great Britain. Kepulangan Tunku ke Tanah Melayu pada tahun 1949 menjadi titik permulaan kepada wadah perjuangan yang baru.

Penglibatan beliau secara tidak langsung dalam parti UMNO telah membawa kepada perlantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Tunku kekal sebagai perdana menteri sehingga beliau mengambil keputusan untuk bersara pada tahun 1970.

Pada tahun 1957, Tunku telah menganjurkan Pertandingan Bola Sepak Piala Merdeka yang mana ia terbuka kepada semua negara kecuali Israel. Selain itu, Tunku turut mengasaskan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam usaha untuk memperkayakan warisan negara.

Sebagai perdana menteri, Tunku bertindak melancarkan beberapa polisi baru, antara yang sangat memberi kesan adalah Dasar Ekonomi Baru. Tunku juga melaksanakan pelbagai projek pembangunan seperti membina Masjid Negara, Stadium Negara, Bangunan Parlimen, Muzium Negara dan Tugu Kebangsaan.

Di peringkat antarabangsa pula, Tungku mengilhamkan penubuhan Association of Southeast Asia (ASA) melalui pemeteraian perjanjian penubuhannya dengan Thailand dan Filipina pada 1961. Penubuhan ini kemudiannya digantikan dengan perhimpunan yang lebih besar pada 8 Ogos 1967 dengan membabitkan lebih banyak negara dan ia dikenali sebagai Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).

Tunku dalam masa yang sama menentang keras dasar apartied di Afrika Selatan sehingga negara itu disingkirkan keahliannya daripada Komenwel melalui Persidangan Komenwel di London.

Tunku sangat terkenal sebagai seorang pemimpin yang bersikap humanis dan mencintai kedamaian. Beliau merupakan pembina bangsa dan tidak pernah mengenal erti putus asa dalam usaha menyatupadukan rakyat Tanah Melayu yang terdiri daripada pelbagai etnik.

Hasil usaha yang tidak pernah mengenal jemu dan lelah, Tunku telah berjaya menyatukan rakyat Tanah Melayu di bawah satu parti politik nasional, dikenali sebagai Perikatan (kini Barisan Nasional) bagi menentang penjajahan British sekaligus menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.

Berbekalkan kepada aspirasi UMNO untuk membentuk perpaduan dalam kalangan orang-orang Melayu, Tunku telah bangkit menyuarakan bantahan terhadap Malayan Union dan beliau sanggup menghadiri perjumpaan-perjumpaan untuk menentang Malayan Union di sekitar pekan Alor Setar. Tunku juga dengan rela hati telah mengorbankan kerjayanya semata-mata kerana rasa kebertanggungjawaban untuk menerajui kepimpinan UMNO.

Putera raja yang berjiwa rakyat ini juga merupakan seorang pejuang kemanusiaan yang unggul. Beliau sanggup menghantar misi pendamai dan keamanan ke Congo, Afrika pada 1961 yang dilanda peperangan saudara.

Di antara sumbangan terpenting Tunku adalah usaha untuk menyelamatkan negara daripada ancaman komunis sewaktu zaman darurat. Beliau telah memberi tawaran pengampunan beramai-ramai kepada para pengganas yang menyerah diri. Ini disusuli pula dengan Rundingan Baling pada 27 dan 28 Disember 1955 di antara pihak PKM dengan pihak kerajaan.

Tunku merupakan orang yang bertanggungjawab terhadap pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 dengan menggabungkan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura tetapi Singapura kemudiannya disingkirkan daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965.

Seperti mana yang telah diketahui umum, kelahiran UMNO antaranya adalah bertujuan untuk memperjuangkan Islam sebagai agama rasmi Malaysia. Justeru, selaku pemimpin nombor satu negara, Tunku banyak melibatkan diri dalam usaha-usaha mengembangkan Islam. Antaranya adalah meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara ini bermula seawal tahun 1960.

Antara yang dilakukan oleh Tunku termasuklah mengasaskan pertandingan membaca al-Quran atau disebut sebagai pertandingan tilawah al-Quran. Hari ini, pertandingan tersebut masih terus dijalankan dengan sambutan yang lebih menggalakkan daripada segenap negara Islam.

Tunku turut menjadi Presiden Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia atau PERKIM ketika pertubuhan ini ditubuhkan pada 20 Ogos 1960. Atas wawasan dan kerja keras beliau, PERKIM telah muncul sebagai sebuah pertubuhan yang terkemuka dan dihormati oleh semua negara Islam.

Selaku pemimpin PERKIM, Tunku mengambil inisiatif yang serius dalam menghulurkan bantuan kepada pelarian Kemboja yang memasuki Malaysia melalui Kelantan pada tahun 1975. Berbekalkan bantuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Tunku menempatkan sehingga 45,000 orang pelarian di Pengkalan Chepa dan Cherating.

Tidak terhenti setakat itu sahaja, pemimpin unggul UMNO yang dermawan ini juga telah membenarkan PERKIM cawangan Kedah Darul Aman menggunakan tanah milik beliau bagi tujuan pembinaan rumah anak-anak yatim dan orang-orang tua. Bangunan ini kemudiannya dinamakan sebagai Darul Aitam Wal Masakin Tunku Abdul Rahman Putra.

Selain itu, Tunku juga dilantik sebagai Setiausaha Agung Sekreteriat Negara-negara Islam yang pertama di Jeddah pada 9 Jun 1970 lantaran daripada usaha beliau membantu kepada penubuhan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) pada tahun 1969.

Di bawah kepimpinan Tunku, persatuan ini telah berjaya menarik lebih 41 buah negara Islam untuk menyertainya. Seiringan itu, beliau telah mengusulkan penubuhan Bank Pembangunan Islam (IDB) sebagai satu institusi khusus dalam kerangka OIC.

Meskipun telah bersara, Tunku masih terus aktif dalam memperjuangkan Islam. Pada 18 Januari 1980, Tunku dilantik sebagai Presiden yang pertama untuk Regional Islamic Council for Southeast Asia and The Pasific (RISEAP) oleh perwakilan-perwakilan di persidangan Negara-negara Islam.

Tunku bukan setakat terkenal sebagai pemimpin yang humanis, berjiwa rakyat dan dermawan, malahan Tunku juga memiliki keperibadian yang sangat menyenangkan. Beliau selalu merendah diri dan tidak pernah berlagak warak.

Tunku bersikap baik tanpa mengira bangsa dan agama, bersemangat waja dan sentiasa mengutamakan kepentingan negara. Beliau tidak pernah sesekali mencemuh dan menghina orang lain, jauh sekali bersikap takbur dan angkuh. Inilah ciri-ciri kepimpinan yang dituntut dalam Islam yang jelas terserlah pada diri Tunku.

Fitrah alam, setiap yang hidup pasti akan mati. Pada 6 Disember 1990 sewaktu berusia 87 tahun, seluruh negara berdukacita kerana pergilah sudah pemimpin yang sangat disegani dan tokoh nasionalisme Melayu yang sangat berwibawa. Bapa Malaysia ini telah dikebumikan dengan penuh istiadat di tanah perkuburan keluarganya di Kedah selaku menghormati permintaan beliau sendiri.

Sesungguhnya jasa dan sumbangan Tunku Abdul Rahman tidak mungkin akan terbalas. Tanpa perjuangan beliau dan bantuan rakan-rakannya, mungkin hari ini kita masih dalam belenggu penjajah dan Malaysia mungkin tiada dalam peta dunia. Walaupun telah sekian lama Tunku kembali ke Rahmatullah tetapi bakti yang ditabur untuk anak bangsa terus dikenang. Al-Fatihah untuk Bapa Kemerdekaan negara ini…

0 comments:

Post a Comment