Melayu Dalam Bahaya: Bangkitlah!

Wednesday, May 27, 2009


Berlalunya hari bermakna semakin lamalah PRU 12 menjadi sejarah dalam hidup kita. Segalanya kini hanya tinggal sebagai kenangan, mungkin juga pengajaran yang paling berguna untuk semua rakyat Malaysia khususnya orang-orang Melayu dan Bumiputera. PRU 12 meninggalkan kita dengan suatu suasana politik yang ‘panas’ dan kacau. Sebenarnya, kekacauan ini sudah bermula sejak beberapa waktu sebelum menjelangnya pilihan raya terbabit. Ini semua disebabkan masyarakat kita mengamalkan sikap marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Tanpa kita sedari, tindakan kita ini hanya mengancam kedudukan kita sebagai orang Melayu dan mengancam kesejahteraan negara. Kaum bukan Melayu terutamanya Cina sejak sebelum PRU 12 lagi telah mengemukakan pelbagai tuntutan yang jelas akan menghapuskan ketuanan Melayu.

Kaum bukan Bumiputera dengan beraninya mempersoalkan Kontrak Sosial yang selama ini menjadi iktikad rakyat Malaysia. Sebagai mana yang diketahui umum, Perkara 152 dan Perkara 153 dipersetujui semua kaum di negara ini sebagai balasan kepada orang-orang Melayu di atas kesediaan mereka untuk memberikan satu juta kerakyatan kepada komuniti Cina dan India yang masuk ke negara ini ketika zaman penjajahan British dengan hanya berdasarkan kepada konsep ‘mastautin’. Maka, kerana itulah bagi membalas jasa, kaum bukan Melayu mesti memperakui kedudukan istimewa masyarakat Melayu sebagai kaum pribumi di negara ini. Beberapa peruntukan undang-undang seperti kedaulatan Raja-raja Melayu, kedudukan islam sebagai agama rasmi Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Persekutuan, pengekalan tanah rizab untuk orang melayu, ketuanan adat-istiadat Melayu, peluang pendidikan dan pengagihan jawatan dalam sektor awam secara automatiknya dilindungi dan tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana rakyat Malaysia

Masyarakat cina melalui Parti DAP adalah antara ahli komuniti yang terlalu banyak mempertikaikan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera ini. DAP melalui konsep “Malaysian Malaysia” memperjuangkan tuntutan sama rata bagi semua kaum di Malaysia dan menuntut kesamaan taraf bagi semua agama. Dalam erti kata lain, DAP mahu islam digugurkan sebagai agama rasmi Persekutuan. Malah, ketika kerajaan melakukan usaha untuk menyemai benih-benih perpaduan daripada peringkat akar umbi melalui institusi pendidikan, DAP dengan keras menentang perlaksanaan Sekolah Wawasan.

Tatkala Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) membentangkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 pada 16 Januari 2007, masyarakat Cina menerusi Persatuan-persatuan Alumni Sekolah Cina-Malaysia mempersoalkan secara terbuka berhubung peruntukan bagi membangunkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Teras ketiga dalam strategi PIPP iaitu memperkasakan sekolah kebangsaan membangkitkan kemarahan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang menganggap kerajaan cuba mengenepikan SJKC. Persatuan ini menuntut agar kerajaan pimpinan Pak Lah melayan SJKC dan sekolah-sekolah yang lain secara sama rata tanpa memberikan tumpuan yang berlebihan kepada sekolah kebangsaan amnya dan orang-orang Melayu khasnya .

Selesai isu pendidikan dan sekolah kebangsaan, mereka tampil lagi dengan isu lain pula. Kedaulatan Melayu yang selama ini dijunjung oleh Perlembagaan Persekutuan bagaikan dihinjak-hinjak apabila DAP dan orang-orang Cina mempertikaikan keperluan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Kedua Malaysia. Mereka menggesa kerajaan agar menghapuskan dasar ini dengan alasan dasar ini bersifat berat sebelah dan lebih mengutamakan golongan Bumiputera sedangkan negara Malaysia adalah untuk semua rakyatnya.

DEB yang diperkenalkan melalui Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama (PRJP1) antara tahun 1971 – 1990 merupakan salah satu usaha kerajaan yang mencakupi tempoh 20 tahun untuk menangani amalan pemerintahan secara “pecah dan perintah” yang diamalkan oleh penjajah British bagi menggalakkan perkembangan masyarakat secara plural dan menyekat kebangkitan semangat nasionalisme dalam diri rakyat ketika itu. Memandangkan DEB adalah satu rancangan pembangunan sosioekonomi dan perpaduan negara yang berpaksikan kepada usaha memastikan pengagihan kekayaan dan kemakmuran ekonomi di negara ini dapat dinikmati secara adil dan saksama oleh semua kaum tanpa mengambil kekayaan dan hak mana-mana kaum lain, ia dibangunkan dengan objektif serampang dua mata iaitu membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat bagi menghapuskan pengenalan kaum berteraskan kegiatan ekonomi masing-masing. Dasar ini dilihat sangat penting bagi membantu masyarakat Melayu dan Bumiputera meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.

Berdasarkan kepada bancian penduduk yang dilaksanakan pada 1970, 49.3% daripada semua keluarga di Semenanjung Malaysia memperolehi pendapatan di bawah garis kemiskinan. Melayu merupakan kaum yang mencatatkan kadar kemiskinan tertinggi iaitu sebanyak 64.8% dengan pendapatan purata keluarga sebulan adalah sebanyak RM 172.00 sahaja. Melihat kepada keadaan mendesak inilah, maka kerajaan tampil dengan mekanisme ransangan untuk membantu kaum Melayu dan Bumiputera. Kerajaan menetapkan sasaran minimum sebanyak 30% dalam ekuiti pemilikan Melayu dan Bumiputera. Namun, disebabkan sehingga berakhirnya tahun pelaksanaan DEB ekuiti Melayu dan Bumiputera masih tidak mencapai sasaran yang ditetapkan, kerajaan sepakat untuk meneruskan DEB ini walaupun ia tidak dipersetujui oleh kaum-kaum lain.

Polemik masalah penguasaan ekonomi Melayu dan Bumiputera ini terus berlanjutan dan konflik mengenainya menjadi bertambah kritikal apabila timbulnya Debat Ekuiti Melayu yang dikaitkan dengan Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan Asia (ASLI). Menurut ASLI, daripada kajian yang telah dilakukan, pemilikan ekuiti kaum Bumiputera sehingga 2006 sudah mencapai 45%. Pengumuman keputusan ini memberikan dua implikasi. Pertama, terdapat pihak-pihak tertentu yang menganggap kerajaan berbohong mengenai ekuiti kaum Bumiputera selama ini. Kaum bukan melayu secara terang-terangan menyarakan keraguan mereka berhubung statistik kerajaan yang dikeluarkan oleh Unit Perancang ekonomi (EPU). Kedua, sebarang dasar yang memihak kepada kaum majoriti (dalam hal ini ia dikaitkan dengan DEB) hendaklah segera dihentikan kerana kaum ini sudah pun mencapai sasaran ekuiti 30%.

Walaupun ketika laporan RMK-7 dibentangkan jelas menunjukkan terdapatnya pertambahan jurang pendapatan antara kaum Bumiputera dengan kaum Cina iaitu daripada 1:1.74 pada 1990 kepada 1.1.81 pada 1995, Datuk Seri Dr. Lim Kheng Yaik, Presiden Parti Gerakan pada ketika itu tetap menyindir kerajaan secara terbuka dengan menyatakan keraguannya terhadap angka rasmi dan mutakhir 18.9% penguasaan ekuiti ekonomi kaum Bumiputera yang dikeluarkan oleh EPU. Beliau menambah dengan berkata bahawa angka itu tidak logik kerana tidak mungkin sedari DEB dilaksanakan sehingga kini, ia langsung tidak menunjukkan pertambahan. DAP melakukan penentangan secara langsung sementara MCA dan Gerakan melakukan penentangan yang masih dalam ruang lingkup BN. Kesemua parti masyarakat Cina ini menuntut pelaksanaan sistem merit di negara ini yang memperuntukkan layanan sama rata dan setiap kaum itu haruslah berusaha dengan gigih untuk mendapatkan kek ekonomi mereka, bukannya dengan bersandarkan kepada “tongkat” kerajaan.

YB Lim Kit Siang, peguam handal dari DAP meracuni pemikiran masyarakat Cina dengan pelbagai kecaman yang dilontarkan beliau kepada MCA yang disifatkan bagai lembu dicucuk hidung kerana akur dengan UMNO, parti dominan dalam BN. Tidak keterlaluan andai dikatakan pada PRU 12 yang lalu, DAP mengeksploitasi sepenuhnya sentiment perkauman hingga pada satu tahap, parti ini melontarkan tomahan bahawa kemungkinan jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang akan diberikan kepada UMNO, bukan lagi Gerakan berikutan daripada pengunduran Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon. Tomahan ini tercetus ekoran daripada keengganan Pak Lah untuk menamakan calon daripada Gerakan yang telah dipilih untuk menyandang jawatan terbabit sebelum menjelangnya PRU 12.

Kesemua yang diperincikan di atas hanyalah sedikit imbasan terhadap segala tuntutan kaum Cina dan tindakan parti pembangkang yang mewakili mereka. Malangnya, masyarakat Melayu terus terlena dibuai mimpi, seakan langsung tidak merasa terancam dengan senario seumpama ini. Melayu mungkin terlupa di mana mereka saat negara ini ditadbir penjajah. Melayu juga mungkin terlupa di mana mereka saat negara ini baru mengecapi nikmat merdeka. Hari ini, setelah Melayu melalui mobilisasi social yang hebat, setelah segala kesenangan dan keselesaan hidup terhampar di depan mata, Melayu lupa lagi! Melayu terlupa kepada semangat perlembagaan yang begitu menjulang sentimen ketuanan Melayu. Melayu terlupa negara ini hak mereka, bumi ini perlu mereka jaga. Melayu terlupa dan terlepas pandang kepada pelbagai ancaman yang sedang dijalankan oleh pembangkang.

Melayu menganggap ‘Malaysian Malaysia’ tidak lebih daripada sekadar slogan, pemansuhan DEB tidak memberi kesan luar biasa kepada taraf sosioekonomi anak bangsa mereka, permohonan jawatan perdana menteri kepada kaum bukan Melayu dianggap tidak menggugat penguasaan politik Melayu, larangan berkumandangnya azan tidak menafikan hak keagamaan mereka dan penganugerahan tanah dengan jaminan sehingga 1000 tahun juga tidak mengancam kepentingan Melayu. Melayu tidak sedar mereka di dalam bahaya. Janganlah sampai hingga kita terpaksa mengemis di negara sendiri, barulah kita hendak menyesali segala yang telah terjadi. Kata pepatah; muafakat membawa berkat, bangkitlah Melayu, marilah bersatu di bawah satu payung. Kita pertahankan ketuanan Melayu, kita bela nasib bangsa, agama dan ibu pertiwi ini!

2 comments:

Anonymous said...

Ada tak sajak melayu mudah lupa tu fidt? kalau ada please publish. ain sukalah sajak tu! nak simpan...

wanfeedahoney said...

akan diusahakan k tapi tak janji...

Post a Comment