Showing posts with label Malay Interest. Show all posts
Showing posts with label Malay Interest. Show all posts

Melayu Dalam Bahaya: Bangkitlah!

Wednesday, May 27, 2009


Berlalunya hari bermakna semakin lamalah PRU 12 menjadi sejarah dalam hidup kita. Segalanya kini hanya tinggal sebagai kenangan, mungkin juga pengajaran yang paling berguna untuk semua rakyat Malaysia khususnya orang-orang Melayu dan Bumiputera. PRU 12 meninggalkan kita dengan suatu suasana politik yang ‘panas’ dan kacau. Sebenarnya, kekacauan ini sudah bermula sejak beberapa waktu sebelum menjelangnya pilihan raya terbabit. Ini semua disebabkan masyarakat kita mengamalkan sikap marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Tanpa kita sedari, tindakan kita ini hanya mengancam kedudukan kita sebagai orang Melayu dan mengancam kesejahteraan negara. Kaum bukan Melayu terutamanya Cina sejak sebelum PRU 12 lagi telah mengemukakan pelbagai tuntutan yang jelas akan menghapuskan ketuanan Melayu.

Kaum bukan Bumiputera dengan beraninya mempersoalkan Kontrak Sosial yang selama ini menjadi iktikad rakyat Malaysia. Sebagai mana yang diketahui umum, Perkara 152 dan Perkara 153 dipersetujui semua kaum di negara ini sebagai balasan kepada orang-orang Melayu di atas kesediaan mereka untuk memberikan satu juta kerakyatan kepada komuniti Cina dan India yang masuk ke negara ini ketika zaman penjajahan British dengan hanya berdasarkan kepada konsep ‘mastautin’. Maka, kerana itulah bagi membalas jasa, kaum bukan Melayu mesti memperakui kedudukan istimewa masyarakat Melayu sebagai kaum pribumi di negara ini. Beberapa peruntukan undang-undang seperti kedaulatan Raja-raja Melayu, kedudukan islam sebagai agama rasmi Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Persekutuan, pengekalan tanah rizab untuk orang melayu, ketuanan adat-istiadat Melayu, peluang pendidikan dan pengagihan jawatan dalam sektor awam secara automatiknya dilindungi dan tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana rakyat Malaysia

Masyarakat cina melalui Parti DAP adalah antara ahli komuniti yang terlalu banyak mempertikaikan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera ini. DAP melalui konsep “Malaysian Malaysia” memperjuangkan tuntutan sama rata bagi semua kaum di Malaysia dan menuntut kesamaan taraf bagi semua agama. Dalam erti kata lain, DAP mahu islam digugurkan sebagai agama rasmi Persekutuan. Malah, ketika kerajaan melakukan usaha untuk menyemai benih-benih perpaduan daripada peringkat akar umbi melalui institusi pendidikan, DAP dengan keras menentang perlaksanaan Sekolah Wawasan.

Tatkala Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) membentangkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 pada 16 Januari 2007, masyarakat Cina menerusi Persatuan-persatuan Alumni Sekolah Cina-Malaysia mempersoalkan secara terbuka berhubung peruntukan bagi membangunkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Teras ketiga dalam strategi PIPP iaitu memperkasakan sekolah kebangsaan membangkitkan kemarahan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang menganggap kerajaan cuba mengenepikan SJKC. Persatuan ini menuntut agar kerajaan pimpinan Pak Lah melayan SJKC dan sekolah-sekolah yang lain secara sama rata tanpa memberikan tumpuan yang berlebihan kepada sekolah kebangsaan amnya dan orang-orang Melayu khasnya .

Selesai isu pendidikan dan sekolah kebangsaan, mereka tampil lagi dengan isu lain pula. Kedaulatan Melayu yang selama ini dijunjung oleh Perlembagaan Persekutuan bagaikan dihinjak-hinjak apabila DAP dan orang-orang Cina mempertikaikan keperluan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Kedua Malaysia. Mereka menggesa kerajaan agar menghapuskan dasar ini dengan alasan dasar ini bersifat berat sebelah dan lebih mengutamakan golongan Bumiputera sedangkan negara Malaysia adalah untuk semua rakyatnya.

DEB yang diperkenalkan melalui Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama (PRJP1) antara tahun 1971 – 1990 merupakan salah satu usaha kerajaan yang mencakupi tempoh 20 tahun untuk menangani amalan pemerintahan secara “pecah dan perintah” yang diamalkan oleh penjajah British bagi menggalakkan perkembangan masyarakat secara plural dan menyekat kebangkitan semangat nasionalisme dalam diri rakyat ketika itu. Memandangkan DEB adalah satu rancangan pembangunan sosioekonomi dan perpaduan negara yang berpaksikan kepada usaha memastikan pengagihan kekayaan dan kemakmuran ekonomi di negara ini dapat dinikmati secara adil dan saksama oleh semua kaum tanpa mengambil kekayaan dan hak mana-mana kaum lain, ia dibangunkan dengan objektif serampang dua mata iaitu membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat bagi menghapuskan pengenalan kaum berteraskan kegiatan ekonomi masing-masing. Dasar ini dilihat sangat penting bagi membantu masyarakat Melayu dan Bumiputera meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.

Berdasarkan kepada bancian penduduk yang dilaksanakan pada 1970, 49.3% daripada semua keluarga di Semenanjung Malaysia memperolehi pendapatan di bawah garis kemiskinan. Melayu merupakan kaum yang mencatatkan kadar kemiskinan tertinggi iaitu sebanyak 64.8% dengan pendapatan purata keluarga sebulan adalah sebanyak RM 172.00 sahaja. Melihat kepada keadaan mendesak inilah, maka kerajaan tampil dengan mekanisme ransangan untuk membantu kaum Melayu dan Bumiputera. Kerajaan menetapkan sasaran minimum sebanyak 30% dalam ekuiti pemilikan Melayu dan Bumiputera. Namun, disebabkan sehingga berakhirnya tahun pelaksanaan DEB ekuiti Melayu dan Bumiputera masih tidak mencapai sasaran yang ditetapkan, kerajaan sepakat untuk meneruskan DEB ini walaupun ia tidak dipersetujui oleh kaum-kaum lain.

Polemik masalah penguasaan ekonomi Melayu dan Bumiputera ini terus berlanjutan dan konflik mengenainya menjadi bertambah kritikal apabila timbulnya Debat Ekuiti Melayu yang dikaitkan dengan Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan Asia (ASLI). Menurut ASLI, daripada kajian yang telah dilakukan, pemilikan ekuiti kaum Bumiputera sehingga 2006 sudah mencapai 45%. Pengumuman keputusan ini memberikan dua implikasi. Pertama, terdapat pihak-pihak tertentu yang menganggap kerajaan berbohong mengenai ekuiti kaum Bumiputera selama ini. Kaum bukan melayu secara terang-terangan menyarakan keraguan mereka berhubung statistik kerajaan yang dikeluarkan oleh Unit Perancang ekonomi (EPU). Kedua, sebarang dasar yang memihak kepada kaum majoriti (dalam hal ini ia dikaitkan dengan DEB) hendaklah segera dihentikan kerana kaum ini sudah pun mencapai sasaran ekuiti 30%.

Walaupun ketika laporan RMK-7 dibentangkan jelas menunjukkan terdapatnya pertambahan jurang pendapatan antara kaum Bumiputera dengan kaum Cina iaitu daripada 1:1.74 pada 1990 kepada 1.1.81 pada 1995, Datuk Seri Dr. Lim Kheng Yaik, Presiden Parti Gerakan pada ketika itu tetap menyindir kerajaan secara terbuka dengan menyatakan keraguannya terhadap angka rasmi dan mutakhir 18.9% penguasaan ekuiti ekonomi kaum Bumiputera yang dikeluarkan oleh EPU. Beliau menambah dengan berkata bahawa angka itu tidak logik kerana tidak mungkin sedari DEB dilaksanakan sehingga kini, ia langsung tidak menunjukkan pertambahan. DAP melakukan penentangan secara langsung sementara MCA dan Gerakan melakukan penentangan yang masih dalam ruang lingkup BN. Kesemua parti masyarakat Cina ini menuntut pelaksanaan sistem merit di negara ini yang memperuntukkan layanan sama rata dan setiap kaum itu haruslah berusaha dengan gigih untuk mendapatkan kek ekonomi mereka, bukannya dengan bersandarkan kepada “tongkat” kerajaan.

YB Lim Kit Siang, peguam handal dari DAP meracuni pemikiran masyarakat Cina dengan pelbagai kecaman yang dilontarkan beliau kepada MCA yang disifatkan bagai lembu dicucuk hidung kerana akur dengan UMNO, parti dominan dalam BN. Tidak keterlaluan andai dikatakan pada PRU 12 yang lalu, DAP mengeksploitasi sepenuhnya sentiment perkauman hingga pada satu tahap, parti ini melontarkan tomahan bahawa kemungkinan jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang akan diberikan kepada UMNO, bukan lagi Gerakan berikutan daripada pengunduran Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon. Tomahan ini tercetus ekoran daripada keengganan Pak Lah untuk menamakan calon daripada Gerakan yang telah dipilih untuk menyandang jawatan terbabit sebelum menjelangnya PRU 12.

Kesemua yang diperincikan di atas hanyalah sedikit imbasan terhadap segala tuntutan kaum Cina dan tindakan parti pembangkang yang mewakili mereka. Malangnya, masyarakat Melayu terus terlena dibuai mimpi, seakan langsung tidak merasa terancam dengan senario seumpama ini. Melayu mungkin terlupa di mana mereka saat negara ini ditadbir penjajah. Melayu juga mungkin terlupa di mana mereka saat negara ini baru mengecapi nikmat merdeka. Hari ini, setelah Melayu melalui mobilisasi social yang hebat, setelah segala kesenangan dan keselesaan hidup terhampar di depan mata, Melayu lupa lagi! Melayu terlupa kepada semangat perlembagaan yang begitu menjulang sentimen ketuanan Melayu. Melayu terlupa negara ini hak mereka, bumi ini perlu mereka jaga. Melayu terlupa dan terlepas pandang kepada pelbagai ancaman yang sedang dijalankan oleh pembangkang.

Melayu menganggap ‘Malaysian Malaysia’ tidak lebih daripada sekadar slogan, pemansuhan DEB tidak memberi kesan luar biasa kepada taraf sosioekonomi anak bangsa mereka, permohonan jawatan perdana menteri kepada kaum bukan Melayu dianggap tidak menggugat penguasaan politik Melayu, larangan berkumandangnya azan tidak menafikan hak keagamaan mereka dan penganugerahan tanah dengan jaminan sehingga 1000 tahun juga tidak mengancam kepentingan Melayu. Melayu tidak sedar mereka di dalam bahaya. Janganlah sampai hingga kita terpaksa mengemis di negara sendiri, barulah kita hendak menyesali segala yang telah terjadi. Kata pepatah; muafakat membawa berkat, bangkitlah Melayu, marilah bersatu di bawah satu payung. Kita pertahankan ketuanan Melayu, kita bela nasib bangsa, agama dan ibu pertiwi ini!

Kata Tun...

Tuesday, May 26, 2009


Tanpa mendaftar sebagai pemilih bererti tanpa sebarang tindakan... hanya pandai berkata, merungut dan marah tapi tidak pula mampu berbuat apa-apa... Melayu, Melayu... apalah nak jadi...

Hujah balas kepada pendakwaan yang lemah…


Dalam post yang terdahulu, ada I bercerita tentang jejaka budiman. So, sesiapa yang masih belum mengetahui kisah jejaka budiman ini, silalah rujuk post yang bertajuk ‘teman ymku yang budiman’.

Setelah I menganalisis kandungan chat kami (ayat macam bagus je), I dapat merumuskan bahawa jejaka budiman ni telah mengemukakan sepuluh pertuduhan kepada kerajaan sedia ada. Pertuduhan-pertuduhan tersebut adalah:

Pertama;Disebabkan telah terlalu lama BN memimpin kita, maka wajarlah kita menukar parti pemimpin kita kepada pembangkang.

Kedua;BN tidak memperjuangkan nasib Melayu.

Ketiga;BN melakukan politik wang apabila menjelang pilihan raya.

Keempat;BN korupsi

Kelima; BN tidak melaksanakan hukum hudud sedangkan mereka mendakwa Malaysia merupakan sebuah negara islam.

Kenam;Pak Lah mencipta agama yang baru, Islam Hadhari.

Ketujuh;BN malu sendiri kerana pembangkang sudah berjaya menakluki lima negeri.

Kelapan;BN menghabiskan duit rakyat dengan bermacam-macam koridor.

Kesembilan;BN enggan menyalurkan subsidi untuk mengurangkan harga minyak sedangkan pembangkang menjanjikan pengurangan sebanyak 30 sen bagi setiap liter.

Kesepuluh;BN tidak menunaikan tanggungjawab pada bangsa dan negara dan gagal menunaikan amanah.

I ada jawapan untuk kesemua sepuluh pendakwaan jejaka budiman tersebut.

Pertama, isu BN telah memerintah terlalu lama. I kira sekejap atau lama BN memerintah bukanlah persoalannya. Jika memang prestasi yang ditunjukkan oleh BN selama memerintah itu cemerlang, mengapa kita perlu mempertaruhkan kecemerlangan ini dengan memberikan peluang kepada pihak yang belum tentu mampu menjadi secemerlang BN. Cuba kita fikir secara rasional, adakah wajar dek kerana lama memerintah, kita lantas mengambil keputusan untuk menggantikannya dengan pemerintahan lain yang belum tentu dapat membela nasib kita?

Ternyata alasan jejaka budiman sangat rapuh. Mungkin juga dia kurang berpengetahuan orangnya. Opss… Biar I beritahu jejaka budiman dan semua yang membaca blog ni sesuatu. Di Hawaii terdapat sebuah parti yang telah memerintah melebihi 100 tahun sekaligus menjadikan parti ini memegang rekod sebagai parti paling lama memerintah. Dalam tempoh selama ini, memang perlu diakui mereka menjadi sangat dominan dan kebal terhadap suara rakyat. Menurut G. W Carter dan J. H Herz (1965) dalam bukunya Government and Politics in the Twentieth Century, politik moden yang wujud pada hari ini boleh dicirikan melalui “Kerajaan Besar” yang mana kuasa dan pengaruhnya terasa di seluruh ruang yang didiami oleh rakyat. Kekuasaan luar biasa dan proksi yang “terlalu kuat” menyebabkan kerajaan menjadi tidak sensitif dengan suara rakyat kerana kerajaan yakin dengan kekebalan autoriti yang ada padanya, rakyat akan dapat ditakluki dengan mudah. Jadi, perlulah diperakui bahawa dalam tempoh memerintah melebihi 100 tahun itu, memang ada kekurangan dan kelemahan, mungkin juga kepincangan. Namun, di sebalik semua itu, rakyat tidak dapat menafikan bahawa telah banyak pembaharuan, kemajuan, kemodenan dan kesenangan yang berjaya dinikmati. Maka dengan kesedaran dan pemikiran rasional rakyatnya inilah, parti terbabit kekal memerintah. Mengapa rakyat Malaysia tidak boleh berfikir dan menilai seperti rakyat Hawaii tersebut?

Kedua, BN kononnya tidak memperjuangkan nasib Melayu. Betulkah? Mari kita ramai-ramai teliti Perlembagaan Malaysia. Bukankah undang-undang tertinggi negara ini digubal dengan begitu cantik dan menjunjung aspirasi membela nasib Melayu sehingga kerajaan memasukkan perihal keistimewaan orang-orang Melayu di dalamnya. Bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan negara dan digunakan sebagai bahasa pengantar dalam sekolah-sekolah kebangsaan dan pekerjaan sektor kerajaan. Islam pula diangkat sebagai agama rasmi dan sebarang usaha menyebarkan fahaman agama yang lain terhadap umat-umat islam adalah dilarang sama sekali. Malah, jika kita merujuk kembali kepada sejarah, UMNO yang merupakan tulang belakang kepada BN ditubuhkan semata-mata untuk menyatupadukan Melayu agar mereka dapat kembali mencapai hak-hak politik dan hal ehwal sosiobudaya negara ini yang telah terlepas daripada tangan mereka.

Kerajaan juga memperkenalkan pelbagai dasar seperti Dasar Ekonomi Baru untuk memperbaiki taraf pencapaian masyarakat Melayu yang jauh ketinggalan ekoran daripada dasar pecah dan perintah British. Ketika peristiwa 13 Mei melanda negara kita, demi menjaga kepentingan dan sentimen masyarakat Melayu, Tunku Abdul Rahman dengan berat hati telah memutuskan penyingkiran Singapura daripada Malaysia. Tidak cukup dengan itu, bagi membuktikan keseriusan kerajaan membela nasib orang-orang Melayu, kerajaan telah mengambil inisiatif menyediakan pelbagai peluang pendidikan khusus untuk orang-orang Melayu seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM). Anak-anak Melayu juga diberikan bantuan pendidikan seperti bantuan pendidikan MARA, JPA dan yayasan negeri di samping pelbagai bantuan biasiswa. Memandangkan masyarakat Melayu juga kurang memiliki simpanan, kerajaan telah mengusahakan ASB yang mana pelaburannya hanya terbuka kepada masyarakat Melayu dan Bumiputera sahaja. Orang-orang Melayu juga mendapat keistimewaan tanah rizab dan potongan harga apabila ingin membeli rumah selain kerajaan memperkenalkan FELDA untuk memperbaiki taraf kehidupan orang-orang Melayu.

Banyak sebenarnya kalau ingin disenaraikan. Takut orang je tak terbaca (I pun tak tertulis). Maklumlah, dah berpuluh tahun memerintah kita. Itu baru beberapa lapangan, belum lagi menyentuh tentang teknologi, perbankan, perniagaan, hartanah, kejuruteraan… Ah, senang cerita terlalu banyaklah! Itukah apa yang dikatakan sebagai tak membela Melayu? Justeru, kalau kerajaan tidak membela Melayu, siapa yang membela Melayu? PR ke? Jom kita tengok beberapa tindakan PR yang ‘membela’ Melayu. Diingatkan, ni beberapa sahaja ke… sebenarnya ada banyak lagi…

Bermula dengan ingin menjadikan ‘Malaysian Malaysia’, hak dan taraf semua warganegara ingin diseragamkan. Sejarah jelas menunjukkan bahawa penduduk asal negara ini adalah masyarakat Melayu. Namun begitu, kita tidak pernah menolak kehadiran masyarakat Cina dan India malah, kita menghormati mereka, juga sebagai rakyat negara ini. Buktinya, dalam kita mempertahankan hak-hak Melayu, kita tidak mengambil apa yang telah memang menjadi hak mereka dan kita tidak pula menafikan keperluan mereka. Sebagai ganti kepada kesediaan Melayu berkompromi berkongsi tanah air mereka dengan masyarakat Cina dan India, kita menuntut agar Melayu dijamin hak mereka dalam beberapa perkara dan situasi sama-sama menang ini sememangnya telah dipersetujui oleh semua pihak. Ia menjadi kontrak sosial yang dipegang oleh semua sehinggalah timbulnya gagasan ‘Malaysian Malaysia’ yang mengancam orang-orang Melayu. Lebih menyedihkan, PKR dan PAS yang sama-sama mendakwa mereka berjuang atas semangat bangsa turut bersengkongkol dengan DAP.

Melayu dan Islam memang sangat sinonim. Justeru, apabila bercakap tentang Melayu, perlu juga untuk kita memperkatakan tentang Islam. Bagaimana selama ini UMNO dan BN berjuang memartabatkan Islam sehingga agama ini muncul sebagai agama rasmi Malaysia. Sayangnya, PR seolah-olah menafikan hak agama ini sebagai agama nombor satu negara apabila terdapat wakil rakyat mereka yang menegah laungan azan dengan alasan bising dan mengganggu tidur kita. Assalammua’laikum orang-orang Islam, kalian tak rasa apa-apa ke dengan usul tegahan ni? Selain itu, usul tegahan penggunaan tulisan jawi dalam papan tanda di negara ini juga turut dikemukakan. PAS dan PKR buat apa? Sekadar berdiam diri sebagai tanda itulah usaha dan bakti mereka dalam membela Melayu.

Penat aje BN merancang pelbagai dasar terutamanya DEB yang selama ini banyak membantu orang-orang Melayu memperbaiki taraf hidup mereka tiba-tiba, apabila PR menang di beberapa buah negeri, DEB dihapuskan. Ketua pembangkang mereka yang sangat lantang berkempen ingin memperbaiki nasib orang-orang Melayu dan orang-orang bawahannya langsung tidak mempertahankan dasar ini sebaliknya mengambil pendekatan selamat dengan sikap tidak masuk campur. Bukankah sikap itu mencerminkan betapa mereka itu sebenarnya mementingkan diri dan kedudukan? Kenangkanlah nasib sedara-sedara kita di Kedah dan di Pulau Pinang sana…

Di Selangor pula, baru beberapa ketika membentuk kerajaan, PR telah mengumumkan pembukaan kuota UiTM kepada bangsa bukan Melayu sedangkan telah termaktub dalam perlembagaan yang mana UiTM itu ditubuhkan dengan misi menyediakan peluang pendidikan peringkat tertier kepada anak-anak Melayu terutamanya yang datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan. Selain itu, cukai pintu juga dinaikkan dalam kadar yang sangat banyak sehingga membebankan rakyat. Konon nak turunkan harga minyak, baru pegang ebberapa negeri dah naikkan cukai pintu. Kalau pegang Malaysia entah-entah semua benda pun naik harga!!! Tapi, yang paling keterlaluan tentu sahaja isu pemberian hak tanah selama 1000 tahun kepada orang-orang Cina. Hai PAS dan PKR… bagus betul tindakan membela bangsa U all tu!!

BN melakukan politik wang ketika pilihan raya? Ya, memang tidak dapat dinafikan bahawa ada segelintir pemimpin BN yang melakukan tindakan ini TETAPI, apakah jejaka budiman dapat memberikan I satu jaminan bahawa perkara seumpama ini tidak berlaku dalam kalangan pemimpin pembangkang? Hello saudara jejaka budiman, U ada baca paper x? Last week dalam Sinar (muka depan lagi), Tok Guru Nik Aziz dengan tegas mengutuk perbuatan sesetengah ahlinya yang melakukan politik wang dalam beberapa pilihan raya kecil. Itu belum jadi pemerintah, kalau dah memimpin Malaysia macam mana pulak politik wang mereka agaknya? Boleh kalau nak mengecam tindakan kerajaan tapi pembangkang kenalah pastikan yang mereka tak lakukannya. Takdelah nanti makan diri sendiri. Dua kali lima, mengata orang, mereka sendiri apatah lagi!!!

Isu korupsi pulak... Seperti juga politik wang, I sama sekali tidak menafikan kebarangkalian kewujudan perkara ini Cuma, apa yang I perasan, kerajaan mula berubah. Di bawah pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi, beliau bersikap telus dan tegas dalam menangani masalah korupsi para pemimpin BN. Buktinya berapa ramai pemimpin BN yang telah dihadapkan ke mahkamah dengan pertuduhan korupsi. Malah, BPR juga dinaik taraf menjadi suruhanjaya dalam usaha untuk memastikan ia lebih berkecuali dan bebas dalam menjalankan fungsinya. Para pemimpin BN diminta untuk mengisytiharkan asset yang mereka miliki untuk mencegah korupsi. Dalam kalangan pembangkang ada buat macam ni ke? Baru je mendapat kuasa, dah tukar kenderaan negeri. Beli Camry yang harganya ratusan ribu ringgit, YB Datuk Seri Khalid di Selangor tu apa cerita? Berzakat dengan wang kerajaan? Beli 46 ekor lembu dengan harga RM110,400 kononnya untuk dibuat zakat tapi lembu ke mana, zakatnya ke mana. Ada ke berzakat pakai duit kerajaan? Dah tu, kereta peribadi beliau rosak, beliau hantar baiki dengan menggunakan wang kerajaan. Amboi, menyalah guna kuasa nampak! Itu belum lagi kisah puluhan Camry yang dibeli oleh PR untuk dijadikan kenderaan rasmi Nizar dan para exconya di Perak. Jadi, layakkah mereka mahu menghukum kerajaan kononnya corrupt sedangkan mereka sendiri pun mengamalkannya…

Tak sudah-sudah dengan hukum hudud. Malaysia ni negara berbilang etnik dengan pelbagai sensitivity perkauman. Untuk melaksanakan hukum hudud bukanlah semudah yang dicakap. Banyak perkara perlu diambil kira. I tak cakap yang I tak sokong pelaksanaan hukum hudud cuma melihat kepada faktor rasional, bagi I apa yang penting, selagi kepimpinan sedia ada tegas mempertahankan hak-hak Islam sebagai agama rasmi negara, kita masih perlu bersyukur. U all rasa kalau PR berjaya membentuk kerajaan, akan terlaksanakah hukum hudud tu? Bukalah mata, jangan terpedaya dengan propaganda politik mereka. Tengok ajelah situasi semasa. Belum lagi menjadi pemerintah, sudah pandai-pandai merancang mahu menghapuskan laungan azan.

Pemerhatian yang lebih mudah lagi, lihat sahaja di Kelantan, Islam sangat menitik beratkan soal kebersihan tetapi apabila kita mengunjungi negeri Cik Siti Wan Kembang ini, seruan islam tidaklah sepenuhnya terlaksana. Tandas-tandas awam dan gerai-gerai penjaja sangatlah kotor. Perkara mudah, menjaga kebersihan pun tidak dapat mereka laksanakan dengan baik, inikan pula membabitkan masalah perundangan yang lebih kompleks. Hai, alamat haru-birulah Malaysia.

Persoalan tentang Islam Hadhari pula, nampak sangat jejaka budiman sangat dangkal pengetahuannya tentang konsep yang satu ini. Islam Hadhari itu sebenarnya bukanlah cabang Islam baru yang dicipta oleh Pak Lah cuma, Pak Lah memperkenalkan Islam Hadhari yang mempunyai 10 prinsip dengan tujuan agar masyarakat Islam menjadi kelompok yang lebih baik, bersatu hati dan memperbaiki prestasi ummah. Islam Hadhari diperkenalkan ketika Islam bergolak di peringkat global dengan dituduh sebagai pengganas dunia. Justeru, Pak Lah mengambil pendekatan dengan memperkenalkan 10 prinsip Islam Hadhari sebagai salah satu cara untuk menyekat fahaman Islam sebagai pengganas, memberitahu dunia bahawa masyarakat Islam di Malaysia adalah masyarakat Islam yang bersedia menerima kemajuan, bersikap terbuka di samping terus mengekalkan nilai-nilai keislaman.

Seterusnya, jejaka budiman mendakwa BN malu sendiri kerana pembangkang telah menerajui lima negeri. Ketika I memberitahu dakwaan ini kepada seorang teman sepejabat I, tergelak dan menggeleng kepala dia. Katanya, BN tak perlu rasa malu pun dengan kemenangan pembangkang itu cuma mereka perlu menganalisis punca dan kelemahan yang terjadi sehingga wujud perubahan undi dalam kalangan masyarakat. Sebaliknya, pembangkang yang perlu berasa malu kerana baru diberi mandat mentadbir lima negeri, sudah begini huru-hara yang timbul. Nampak sangat pembangkang tidak mempunyai kemampuan mentadbir Malaysia. Ya, I bersetuju dengan kata-kata teman sepejabat I. Sejak sekian lama BN memerintah, tiada pun keadaan yang sebegini kacau terjadi. Tiada pun kemelut politik yang tak berkesudahan, tiada pun ulangan pilihan raya kecil disebabkan oleh perkara-perkara remeh.

Persoalan koridor, kerajaan tidak menghabiskan duit rakyat sebenarnya. Cuma, mungkin memang kecenderungan masyarakat Malaysia. Mereka lebih suka untuk memilih janji-janji yang bersifat serta-merta. Mungkin juga mereka lebih mudah terpengaruh dengan apa yang berada di depan mata. Kesan dan faedah daripada projek-projek koridor kerajaan ini hanya boleh dinikmati selepas suatu tempoh masa yang panjang. Kerana itulah mereka merasakan projek koridor kerajaan merugikan wang rakyat. Kalau membangunkan pelbagai koridor itu jejaka budiman katakan sebagai membazir, bagaimana pula dengan tindakan menukar kenderaan rasmi negeri oleh pembangkang sedangkan kenderaan rasmi sedia ada masih elok? Bagaimana pula dengan pelbagai siri pilihan raya kecil yang dirancang pembangkang dengan membabitkan kos kempen yang besar? Tolonglah respon, yang mana sebenarnya lebih membazir?

Apabila kita tidak menjadi kelompok yang memerintah, kita memang akan hanya pandai bercakap, menuding jari itu dan ini kepada kerajaan sebab bercakap tidaklah sesukar mana. Kita menyalahkan kerajaan dengan kenaikan harga minyak dan meminta agar kerajaan menambah subsidi tetapi apabila masyarakat kita dipanggil sebagai masyarakat subsidi, kita melenting pula. Tindakan kerajaan menaikkan harga minyak bukanlah atas dasar suka-suka sebaliknya ia adalah disebabkan oleh kenaikan harga minyak dunia yang jelas di luar kawalan kerajaan kita. Berkali-kali juga kerajaan menerangkan mengapa perolehan petronas tidak boleh digunakan sebagai subsidi tapi ternyata semua penerangan itu hanyalah ibarat mencurah air ke daun keladi.

Mengapa tidak kita melihat kenaikan harga minyak ini daripada aspek yang lebih positif?. Dengan kenaikan harga minyak, mutu perkhidmatan kenderaan awam kita akan menjadi lebih baik daripada sebelum ini. LRT, bas-bas awam dan teksi akan meningkatkan prestasi mereka sekaligus menarik lebih ramai pengguna. Apabila ramai yang menggunakan kenderaan awam, kesesakan lalu lintas juga akan dapat dikurangkan. Lagipun, kerajaan boleh menggunakan subsidi untuk menurunkan harga minyak itu untuk sektor-sektor lain seperti pendidikan dan perubatan. Saban hari ada sahaja media melaporkan tentang rakyat Malaysia yang menderita penyakit kronik tetapi tidak mampu mendapatkan rawatan lanjut kerana tidak mampu. Dalam sektor-sektor seperti inilah kerajaan seharusnya menyuntik lebih subsidi.

Terakhir, dakwaan kononnya kerajaan tidak menunaikan tanggungjawab pada bangsa dan negara dan mengkhianati amanah rakyat. Kalau hendak bercerita tentang amanah, tindakan Datin Sri Azizah mengosongkan kerusi Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada suaminya itu melambangkan beliau sendiri tidak menunaikan tanggungjawab pada bangsa dan negaranya. Setelah menabur pelbagai janji dalam kempen-kempen pilihan raya, beliau meletakkan jawatan dengan sewenang-wenangnya. Tinggallah segala janji begitu sahaja. Amanah yang rakyat letakkan di bahu beliau dipersia-siakan. Begitu juga dengan siri pilihan raya kecil yang lainnya. Pembangkang sewenang-wenangnya mengosongkan kerusi mereka tanpa alasan yang digariskan oleh perlembagaan. Tidakkah itu mengkhianati amanah rakyat. Setelah mendapat kepercayaan, semua itu dipersia-siakan.

Dengan semua hujah balas ringkas I terhadap jejaka budiman (sebenarnya banyak lagi yang I nak tulis tapi banyak pulak kerja lain), I harap jejaka budiman dan kita semua dapatlah berfikir dengan rasional dan menilai semula apa yang ada di depan mata. Janganlah kita hanya pandai menghukum tanpa menilai terlebih dahulu. Jangan hanya kerana satu dua kekurangan, kita terus menafikan seribu satu kelebihan yang selama ini telah kita nikmati.

Renung-renungkanlah!!!

Teman ymku yang ‘budiman’…

Monday, May 25, 2009

Ingat lagi Lynn, kawan ym I yang sangat kemelayuan. Tapi, kali ni I bukan nak cerita tentang Lynn. Kali ni I nak cerita tentang seorang kawan ym I yang menggelarkan dirinya ‘jejaka budiman’ (geli jerk!) Huhu… budiman sangat ke sampai pakai nick name macam tu? Hah, nak tahu si mamat seorang ni budiman atau tak, kenalah terus setia bersamaku… hehe… = >

Mula-mula mamat ni tegur I elok je…ayat baik je. Tapi, masuk je cerita pasal politik negara, mamat ni terus emo semacam. Asalnya cuma cerita tentang kemenangan Datuk Sri Zambry kat Perak. Tup-tup mamat ni berhujah panjang berjela-jela macam serba arif tentang keadaan negara hari ni.

Pung-pang, pung-pang dia dok mengata kerajaan. Cakap memang tak toleh kiri kanan. Agaknya orang tua dia tak pernah pesan kat dia, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Dalam hati I berkata; “Eh mamat ni, dah request orang, bila orang accept, cakap macam bagus pulak!”

I sempat copy apa yang kitorang chat dan tulis semula dalam ruangan ni (ada part sensor yg dah I delete)… Jom kita sama-sama baca betapa ‘poyo’nye mamat sentimental ni..

Jejaka budiman: Hai awak… blh kt ym?

I: (Bercakap sendiri dalam hati, mamat mana ni? Mana pulak dapat ym I? Ah, layan jerklah!). Hai… ok

Jejaka budiman: Sy dpt ym awk dpd kwn sy. Sorilh klu awk mrh.

I: Xpe

Jejaka budiman: Awk bz ke?

I: Sikitlah…

Jejaka budiman: Emm… awk ni ckp septh-septh je. Mcm x nk chat ngn kt je.

I: Xdelah. Cuma ayt2 u tu x perlukn jwpn pjg2

Jejaka budiman: Ooo.. mcm tu ke? Awk ada apa-apa nak ckp ke?

I: Ntahlah. U la ckp.

Jejaka budiman: Awk org mn?

I: Jhr. U?

Jejaka budiman: Perak.

I: Wah, negeri kontroversi. Well, slmt dtdbr mb baru. Datuk Zambry mng klmarin

Jejaka budiman: I lg suka Datuk Nizar yg mng!

I: Knp ye?

Jejaka budiman: Lm sgt dah BN pimpin kt. Biarlah kali ni kt bg pluang pd pbgkg. BN pon skrg bknnya bagus sangat. Kata je nak pjuangkn org2 Melayu tp tu semua sbnrnya x lbh dpd agenda kjaan je. Bila p/ry je mulalah politik wang. Korupsi. Kata ni negara islam tapi xnak pon laksanakn hukum hudud. Pastu Pak Lah plk buat islam yg baru. Islam Hadhari konon. Kempen takbur sgt. Ckp pbgkg tak leh mng. Skrg, pbgkg dah pgg 5 ngri. Baru dorg malu sdiri. Johor yg kononnye spi kiamat tu pbgkg tak mng pon dah klh 6 kerusi. Dah tu, habiskan duit rakyat dengan mcm2 koridor. Ckop2lah koridor yg ada kat umah tu aje! Hrg myk naik ckit pny byk. Pastu xnk bg subsidi trunkn hrg. Pbgkg siap blh jnj trunkn hrg myk 30 sen lg klu mng PRU 12. Itu ke nak myngkn rkyt? BN sekarang ni langsung tak menunaikan tanggungjawab pada bangsa, dan negara. Tak tunaikan amanah!

I pun rasa bengang sangat dengan mamat sorang ni. Bukan bengang sebab dia kutuk kerajaan. Tu I tak heran. Kita negara demokrasi. Semua orang bebas bercakap apa aje tapi kenalah ingat, terlajak kata, badan binasa. Ni I yang bengang sangat dengan mamat budiman ni sebab semua hujah dia tu hujah surface je. Hujah budak-budak yang boleh dipatahkan semudah 1,2,3. Hehe…

I pun malaslah nak layan mamat ni. Tapi, I tak naklah cancel dia macam tu je. Mana boleh! I tetap nak tembak dia. Punyalah panjang berjela-jela dia menceceh, ayat I mudah dan ringkas aja. “Ermm… U ckp mcm wakil rkyt. U ni m’undi ke x?”. Dan, agak-agak U all apa jawapan dia? Jeng, jeng, jeng…

TAK!!!

Huh, I pun bagai pucuk dicita, ulam mendatanglah! Orang mengantuk disorongkan bantal… sedaplah I tembak dia. Huh, cakap berkobar-kobar… BN inilah, itulah… pembangkang betterlah tapi diri sendiri tak mendaftar. Hai, tak faham betul I dengan manusia macam ni!!

Lancang aje mulut tu menuduh kerajaan tak menunaikan tanggungjawab pada bangsa dan negara. Tak amanah konon. Diri sendiri tu apa kurangnya? Bukan ke mengundi tu tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia? Kalau rasa-rasa macam tak nak mengundi, tak nak jadi rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, silalah tukar kerakyatan. Habis cerita.

Dengan tidak keluar mengundi samalah seperti kita tidak amanah. Mengapa? Kerana undi kitalah yang menentukan masa depan politik negara kita dan hala tuju bangsa kita akan datang. Tambahan pula, mengundi memang menjadi kewajipan ke atas setiap warganegara yang berusia 21 tahun dan ke atas. Bukankah setiap yang menjadi kewajipan itu amanah? Kalau diri sendiri mengkhianati amanah, tak payahlah hendak bercakap tentang keperluan pihak lain menunaikan amanah. Kalau dah diri sendiri tak bertanggungjawab pada bangsa dan negara, tak usahlah nak complain tentang orang lain dan menuduh mereka pula yang tidak bertanggungjawab.

Kepada jejaka budiman yang ‘teramat’ budiman, orang-orang tua selalu kata, cermin diri tu sendiri! Kalau kita sendiri pun tak betul, tak payahlah nak mengharapkan kesempurnaan…

*** Hujah dakwaan jejaka budiman yang lemah akan dibalas dalam next post… Tungguuuuuu…

Al-kisah...

Wednesday, May 20, 2009

Tadi, sempat ym dengan seorang kawan. Biarlah I namakan dia sebagai 'Lynn' sahaja. Katanya keadaan Melayu sekarang amat menyedihkan... Melayu dah berpecah! Itulah hakikat yang bukan sahaja pahit tetapi juga sangat berbisa untuk ditelan. Melayu sudah mula melupakan apa yang pernah mereka kecapi, kejayaan dan kecemerlangan di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir. Benarlah kata Tun, Melayu memang mudah lupa!!!

Kata teman I, orang-orang Melayu macam ambil sambil lewa jerk ngan kepentingan dan hak mereka. Dorang ni dah macam tak kisah hidup menumpang kat bumi sendiri. Betul ke begitu? Kalau betullah apa yang dirasakan teman I ni, alangkah sedihnya kita kerana ada dalam kalangan kita yang sudah tidak lagi mendukung aspirasi memperjuangkan bangsa.

Kita bukan mahu bersikap rasisme di sini tapi Malaysia ini hak kita, diwarisi daripada nenek moyang kita untuk dipinjamkan kepada cucu cicit kita nanti. Kalau dah orang Melayu boleh tutup mata dengan segala tindakan pembangkang terutama DAP yang langsung tidak menghormati ketuanan Melayu kat negara ni, keadaan ini memang membimbangkan.

Kata teman I tu lagi, orang-orang Melayu dah macam tak pedulikan nasib mereka sendiri. Tengoklah, pembangkang sewenang-wenangnya memberi tanah kepada orang-orang Cina dengan jaminan sehingga 1000 tahun. Melayu kisah ke? Semuanya macam tutup mata je, peluk tubuh, buat-buat macam takde apa yang jadik. Hai... apalah kena dengan Melayu kita hari ni? Mana semangat kemelayuan dan janji perjuangan yang berkobar-kobar ketika zaman Tun dahulu?

Pembangkang pulak, terus melaga-lagakan Melayu. Akhirnya hari ini, Melayu terpecah mengikut ideologi politik. Ada yang UMNO, ada yang PAS dan ada yang keADILan. Betullah kita bebas berpersatuan dan berpolitik, tapi sekadar ingatan, hati-hati ketika beraksi di gelanggang politik. Jangan kerana pentingkan diri, nasib bangsa kita gadaikan!! Pilihlah dengan berhemah, siapa yang sebenarnya gigih memartabatkan bangsa... Sejak sekian lama, tanpa pernah jemu dan mengenal putus asa...

Melayu, janganlah mudah lupa lagi....