Bangkitlah wahai generasi muda

Thursday, May 21, 2009

Kali ni nak bercerita tentang tanggungjawab mengundi pulak. Idea ni dapat masa berbual-bual dengan kawan-kawan lunch tadi...

Adalah seorang kawan bertanya kepada I... "u mendaftar tak sebagai pemilih?". Dan I dengan penuh bangganya menjawab ya... Mana tak bangganya, mendaftar sebagai pemilih dan kemudian keluar membuang undi sewaktu pilihan raya merupakan antara ciri-ciri rakyat Malaysia yang bertanggungjawab tau...

I pun tanyalah semula kepada dia dan kepada dua lagi kawan yang lain. Hampeh betul! Tiga-tiga orang tak mendaftar sebagai pemilih. Tapi, yang buat I terkilan dan kesal sangat tu, ketiga-tiga orang kawan I ni adalah Melayu.

Kenapalah agaknya generasi muda (sebahagiannya) tidak memiliki kesedaran untuk berpolitik? Kalau pun tidak mahu terlibat secara aktif, cukuplah sekadar menjadi pemilih, menunaikan tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.

Mungkin anak-anak muda bangsa kita masih belum sedar kepentingan mendaftar sebagai pemilih dan pengundi. Sebagai sebuah negara demokrasi, pilihan raya dan proses membuang undi merupakan hak semua rakyatnya dan hak ini seharusnya tidak dipersia-siakan begitu sahaja.

Sedarkah kita bahawa pilihan raya merupakan satu-satunya cara terbaik untuk menentukan hala tuju negara di samping menentukan pucuk pimpinan kita?

Bagi anak muda berbangsa Cina dan India, sebaik sahaja mereka berusia 21 tahun, antara perkara yang akan mereka lakukan adalah mendaftar sebagai pemilih. Sedangkan anak-anak muda berbangsa Melayu hanya memandang remeh keperluan mendaftar sebagai pemilih, jauh sekali ingin bersesak-sesak pergi membuang undi.

Tapi, kita tak sedar yang keadaan ni sangat membahayakan kita. Apabila semakin ramai anak muda Cina dan India yang layak mengundi dan Melayu semakin ramai tidak mendaftar sebagai pemilih, dikhuatiri akhirnya Melayu nanti akan ditadbir oleh kaum bukan Melayu.

Masakan tidak, bagi pengundi-pengundi Cina dan India, kebarangkalian untuk mereka mengundi pemimpin-pemimpin Melayu adalah sangat rendah. Daripada memangkah orang-orang kita, adalah lebih baik mereka memangkah orang-orang mereka. Akhirnya, bila tiada yang ingin memangkah Melayu lagi, hilanglah pemimpin-pemimpin Melayu ini daripada pentas politik negara.

Jadi, dengan kelalaian dan sikap tidak bertanggungjawab muda-mudi Melayu sendiri, jangan terkejut kalau satu hati nanti satu-satunya lapangan yang masih dikuasai oleh Melayu ini akan terlepas ke tangan kaum Cina dan India.

Ketika itu, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya lagi. Ingatlah anak bangsaku!!!

4 comments:

Anonymous said...

DUA daripada puluhan artikel yang dipaparkan di media perdana sepanjang sambutan 50 Kemerdekaan negara , cukup mengesankan dan menggamit bicara kerana masing-masing menulis dengan berpijak di bumi nyata, terang lagi jelas, mengenai Melayu dan Cina.

Tulisan Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman di Berita Minggu pada 16 September, amat tajam mengenai kedudukan orang Melayu di tanah airnya diikuti seminggu kemudian kolum Joceline Tan yang mendedahkan sikap sebenar orang Cina kepada kerajaan dalam Sunday Star.

Abdul Aziz yang dulunya kerap menulis mengenai bidang pengurusan dalam majalah Dewan Masyarakat ketika menerajui MAS sebagai pengarah urusan, keluar daripada 'pertapaannya' sekian lama, dengan nada tegas mempertahankan hak orang Melayu yang semakin cair di bumi ini, yang dulunya dikenali sebagai Tanah Melayu.

Beliau menegaskan soal kontrak sosial tidak wajar timbul lagi kerana ia sudah diterjemahkan secara hitam putih dalam Perlembagaan Negara dengan persetujuan kaum yang terlibat. Ia sudah menjadi perkara 153 iaitu hak istimewa orang Melayu yang sudah dilindungi dan termaktub dalam Perlembagaan.

Katanya, perkara 153 bukanlah urusan yang boleh dijual beli dalam rundingan tawar-menawar oleh mana-mana pihak sekalipun, bermakna tidak sekali-kali boleh dipertikaikan oleh sesiapa pun.

Joceline pula melaporkan daripada satu kajian bahawa 85 hingga 90 peratus daripada 6.5 juta penduduk Cina di negara ini adalah dalam kumpulan yang berpegang teguh kepada tradisi kecinaan dengan dipengaruhi oleh sekolah Cina, pertubuhan Cina seperti huo zong dan akhbar-akhbar berbahasa Cina.

Katanya, mereka hidup dalam gelembung kaumnya sendiri, berkecimpung dalam pertubuhan etniknya, berpendidikan sekolah Cina dan hanya membaca akhbar berbahasa Cina.

Lalu, tidak hairanlah kebanyakan mereka lebih mengenali perkembangan politik di Taiwan berbanding Umno mahupun PAS. Lantas sebahagian daripada mereka yang sokong pembangkang dan kekal menyokongnya; begitu juga sebahagian lagi menyokong MCA, mereka kekal membuntutinya.

Kedua-dua penulisan itu sebenarnya memaparkan latar sebenar di negara ini yang sudah mencapai usia 50 tahun kemerdekaan. Satu tempoh masih muda bagi hayat sebuah negara, tetapi sewajarnya sudah cukup matang bagi seorang manusia.

Latar yang dilakar oleh kedua-dua penulis ini, yang tentunya ditulis secara sedar dan penuh rasa tanggungjawab, seharusnya menyedarkan kepimpinan negara, pemimpin Umno dan MCA di semua peringkat, serta orang Melayu dan Cina keseluruhannya.

Kalau itu keadaan itu diterima dan diakui secara terbuka mahupun secara senyap sunyi dalam hati sanubari masing-masing, sepatutnya amat mudah difahami dan dihayati; lantas perlu dihormati.

Namun, sebaliknya pula berlaku. Perlembagaan yang tepat, seimbang lagi adil itu, longgar dalam amalan dan pelaksanaan. Dapatkan kita bertanya kepada diri sendiri, siapa yang melanggar dan melonggar kandungan perlembagaan itu?

Anonymous said...

Bila sudah longgar, kita jadi gusar mahu bicara soal Melayu? Bukankah itu adalah hal di bumi nyata dan di depan mata?

Apakah pemimpin Melayu dan orang Melayu tidak peduli lagi apa akan jadi kepada bangsa Melayu? Yang kaya hanya selesa dengan kumpulan elitnya, yang miskin terus terpinggir.Yang bertambah hanyalah penyakit sosial seperti dadah, mat rempit, perlakuan sumbang dan jenayah.

Mereka tidak peduli peristiwa-peristiwa bersejarah negara, tidak kenal tokoh dan pejuang tanah air, tidak mentafsir pengajaran daripada peristiwa 13 Mei 1969, tidak mampu menyebut lima prinsip Rukunegara, tidak menghayati semangat DEB, tidak hirau kandungan Perlembagaan Negara, tidak endah nilai budaya dan kebudayaan Melayu, tidak berasa apa-apa untuk mempertahankan bahasa; dan tidak kecewa apabila Agamanya dipersenda.

Ini semua adalah 'batu tanda' keMelayuan yang semakin cair, yang boleh membawa kepada tenggelamnya, atau akhirnya berkubur tamadun Melayu pada satu hari kelak. Ini adalah realiti masyarakat Melayu pada hari ini, sekali gus menyebabkan kekaburan dalam masa depan bangsa Melayu.

Maka, sempena Perhimpunan Agung Umno 2007 ini, Umno hendaklah bersidang bukan untuk 2,500 perwakilannya sahaja, atau hampir empat juta ahli-ahlinya, tetapi untuk lebih 15 juta orang Melayu di seluruh negara.

Maka, Umno kena bicara soal semua orang Melayu, bumi Melayu dan negara Melayu. Kelekaannya telah mencetuskan sejarah hitam 13 Mei yang merentap jiwa dan mencabar maruah Melayu. Mujur dari situ, Kerajaan mengorak langkah, menggubal apa jua dasar untuk orang Melayu, yang juga membawa kebaikan kepada bukan Melayu.

Bukankah itu semua kerana kerajaan menterjemah hak Melayu dalam Perlembagaan? Hak yang sahih, yang termaktub dan yang bukan sahaja Melayu yang setuju, tapi turut diakui oleh kaum lain. Begitu besar maknanya Perlembagaan, begitu bernilainya pengertian agenda Melayu.

Pemimpin Melayu perlu mempertegaskan kembali perjuangan asal Umno ketika ia dilahirkan hasil gabungan 41 pertubuhan Melayu. Nama Umno itu sendiri - Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu - adalah cerminan daripada semangat juang Hidup Melayu, sebagai pemegang amanah orang Melayu.

Ini jelas dinyatakan dalam fasal 3 Perlembagaan Umno, iaitu dalam bab asas dan tujuan Umno ditubuhkan. Fasal ini menyatakan bahawa Umno adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah, martabat bangsa, agama dan negara. Peranan Umno antaranya menegak, mempertahankan dan mengembangkan Islam; memajukan ekonomi bangsa Melayu; menjamin kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan; kebudayaan kebangsaan berteraskan kebudayaan Melayu dan hak-hak istimewa orang Melayu.

Lalu, orang Melayu mesti sanggup berjuang dan mesti faham serta tahu apa yang mereka perlu perjuangkan. Kita dengar orang Melayu bertelagah mengenai balak, projek, tanah dan perniagaan. Tapi jarang kita dengar orang Melayu bermati-matian pasal kemiskinan, pendidikan, budaya, jati diri dan bahasa.

Parti memilih pemimpin-pemimpin untuk diamanahkan kuasa bagi melaksanakan perjuangan orang Melayu. Tapi kita dengar orang Melayu mempersoal pemimpin-pemimpin yang tidak jujur. Orang Melayu merungut pemimpin tidak mempedulikan orang Melayu, melainkan puaknya sendiri.

Anonymous said...

Ahli-ahli parti selalu setia kepada pemimpin tertentu, bukan kepada parti. Ramai pengikut mengampu pemimpin dan ada pengikut dibeli undinya. Apabila memilih pemimpin, keputusan dibuat berdasarkan perut, bukan akal fikiran.

Mereka yang mahu berkecimpung dalam politik ialah rakyat biasa. Orang Melayu berpelajaran tinggi tidak mahu terlibat dengan politik. Sehinggakan ada yang berkata: " Itu kerja orang politik". Seolah-olahnya politik adalah hal yang tidak ada kena-mengena dengan hidupnya. Mereka tidak sedar ada keperluan orang Melayu bersatu melalui politik.

Pada masa sama, ada juga pemimpin politik Melayu tidak mahu orang bijak pandai jadi ahli politik, kerana bimbang kedudukannya pula terancam. Begitulah orang Melayu dengan masalah antara orang Melayu sendiri.

Semua itu, membuatkan orang Melayu tidak dapat mengesan atau barangkali tidak sedar ada orang lain mahu 'membunuh' politik orang Melayu. Rasuah, kebendaan dan gejala lain telah mula digunakan dalam taktik membunuh politik Melayu.

Sudah ada usaha mengembalikan semula Melayu dalam era sebelum Merdeka, iaitu mempunyai jiwa hamba sehingga mudah dijajah. Ini membuatkan Melayu menerima apa sahaja tekanan pihak lain, sehingga semakin hari semakin terpinggir.

Selepas 50 tahun Merdeka, masa depan orang Melayu untuk tempoh 50 tahun lagi, akan ditentukan oleh golongan Muda Melayu sekarang. Terpulang kepada generasi muda hari ini untuk mencari sifat-sifat politik Melayu yang baik dengan kembali kepada perjuangan agama, bangsa dan tanah air.

wanfeedahoney said...

Kekalahan dalam PRU 12 sememangnya suatu tamparan yang sangat hebat terhadap BN amnya dan UMNO khasnya. Namun, kita harus percaya bahawa setiap yang terjadi itu ada hikmahnya. Kesan daripada kekalahan tersebut, UMNO ketara cuba memperbaiki imej dan prestasi parti dengan meletakkan Datuk Sri Najib Tun Razak. Pemimpin muda yang berguru dengan ramai pemimpin handalan yang hadir dahulu sebelum beliau ini diharapkan agar dapat mengubati hati-hati orang Melayu yang terluka dan bernanah sejak beberapa tahun belakangan ini.
Politicking dalam parti juga mendapat perhatian yang serius daripada UMNO dan pelbagai usaha untuk memperbaiki jentera pemerintahan sedang giat dijalankan. hakikatnya, di peringkat atasan para pemimpin dan pasukan kerjanya giat merancang pelbagai program dan dasar untuk memperbaiki nasib bangsa. Terpulanglah kepada rakyat sama ada mahu memberi sedikit sahaja lagi ruang untuk UMNO membuktikan bahawa mereka berubah seiring dengan perubahan yang diinginkan oleh rakyat atau sebaliknya. Persoalan sama ada hati-hati orang Melayu yang tercalar hebat ini dapat diubati atau tidak, semuanya hanya akan terjawab menjelang PRU 13 nanti dan jawapan itu tentunya menuntut UMNO untuk kembali berpegang kepada asas penubuhannya iaitu memperjuangkan nasib bangsa, agama dan negara. Tempoh yang kurang daripada tiga tahun inilah sahaja masa yang ada untuk kerajaan dan pembangkang berusaha memikat hati masyarakat khususnya orang-orang Melayu.

Post a Comment