Hujah balas kepada pendakwaan yang lemah…

Tuesday, May 26, 2009


Dalam post yang terdahulu, ada I bercerita tentang jejaka budiman. So, sesiapa yang masih belum mengetahui kisah jejaka budiman ini, silalah rujuk post yang bertajuk ‘teman ymku yang budiman’.

Setelah I menganalisis kandungan chat kami (ayat macam bagus je), I dapat merumuskan bahawa jejaka budiman ni telah mengemukakan sepuluh pertuduhan kepada kerajaan sedia ada. Pertuduhan-pertuduhan tersebut adalah:

Pertama;Disebabkan telah terlalu lama BN memimpin kita, maka wajarlah kita menukar parti pemimpin kita kepada pembangkang.

Kedua;BN tidak memperjuangkan nasib Melayu.

Ketiga;BN melakukan politik wang apabila menjelang pilihan raya.

Keempat;BN korupsi

Kelima; BN tidak melaksanakan hukum hudud sedangkan mereka mendakwa Malaysia merupakan sebuah negara islam.

Kenam;Pak Lah mencipta agama yang baru, Islam Hadhari.

Ketujuh;BN malu sendiri kerana pembangkang sudah berjaya menakluki lima negeri.

Kelapan;BN menghabiskan duit rakyat dengan bermacam-macam koridor.

Kesembilan;BN enggan menyalurkan subsidi untuk mengurangkan harga minyak sedangkan pembangkang menjanjikan pengurangan sebanyak 30 sen bagi setiap liter.

Kesepuluh;BN tidak menunaikan tanggungjawab pada bangsa dan negara dan gagal menunaikan amanah.

I ada jawapan untuk kesemua sepuluh pendakwaan jejaka budiman tersebut.

Pertama, isu BN telah memerintah terlalu lama. I kira sekejap atau lama BN memerintah bukanlah persoalannya. Jika memang prestasi yang ditunjukkan oleh BN selama memerintah itu cemerlang, mengapa kita perlu mempertaruhkan kecemerlangan ini dengan memberikan peluang kepada pihak yang belum tentu mampu menjadi secemerlang BN. Cuba kita fikir secara rasional, adakah wajar dek kerana lama memerintah, kita lantas mengambil keputusan untuk menggantikannya dengan pemerintahan lain yang belum tentu dapat membela nasib kita?

Ternyata alasan jejaka budiman sangat rapuh. Mungkin juga dia kurang berpengetahuan orangnya. Opss… Biar I beritahu jejaka budiman dan semua yang membaca blog ni sesuatu. Di Hawaii terdapat sebuah parti yang telah memerintah melebihi 100 tahun sekaligus menjadikan parti ini memegang rekod sebagai parti paling lama memerintah. Dalam tempoh selama ini, memang perlu diakui mereka menjadi sangat dominan dan kebal terhadap suara rakyat. Menurut G. W Carter dan J. H Herz (1965) dalam bukunya Government and Politics in the Twentieth Century, politik moden yang wujud pada hari ini boleh dicirikan melalui “Kerajaan Besar” yang mana kuasa dan pengaruhnya terasa di seluruh ruang yang didiami oleh rakyat. Kekuasaan luar biasa dan proksi yang “terlalu kuat” menyebabkan kerajaan menjadi tidak sensitif dengan suara rakyat kerana kerajaan yakin dengan kekebalan autoriti yang ada padanya, rakyat akan dapat ditakluki dengan mudah. Jadi, perlulah diperakui bahawa dalam tempoh memerintah melebihi 100 tahun itu, memang ada kekurangan dan kelemahan, mungkin juga kepincangan. Namun, di sebalik semua itu, rakyat tidak dapat menafikan bahawa telah banyak pembaharuan, kemajuan, kemodenan dan kesenangan yang berjaya dinikmati. Maka dengan kesedaran dan pemikiran rasional rakyatnya inilah, parti terbabit kekal memerintah. Mengapa rakyat Malaysia tidak boleh berfikir dan menilai seperti rakyat Hawaii tersebut?

Kedua, BN kononnya tidak memperjuangkan nasib Melayu. Betulkah? Mari kita ramai-ramai teliti Perlembagaan Malaysia. Bukankah undang-undang tertinggi negara ini digubal dengan begitu cantik dan menjunjung aspirasi membela nasib Melayu sehingga kerajaan memasukkan perihal keistimewaan orang-orang Melayu di dalamnya. Bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan negara dan digunakan sebagai bahasa pengantar dalam sekolah-sekolah kebangsaan dan pekerjaan sektor kerajaan. Islam pula diangkat sebagai agama rasmi dan sebarang usaha menyebarkan fahaman agama yang lain terhadap umat-umat islam adalah dilarang sama sekali. Malah, jika kita merujuk kembali kepada sejarah, UMNO yang merupakan tulang belakang kepada BN ditubuhkan semata-mata untuk menyatupadukan Melayu agar mereka dapat kembali mencapai hak-hak politik dan hal ehwal sosiobudaya negara ini yang telah terlepas daripada tangan mereka.

Kerajaan juga memperkenalkan pelbagai dasar seperti Dasar Ekonomi Baru untuk memperbaiki taraf pencapaian masyarakat Melayu yang jauh ketinggalan ekoran daripada dasar pecah dan perintah British. Ketika peristiwa 13 Mei melanda negara kita, demi menjaga kepentingan dan sentimen masyarakat Melayu, Tunku Abdul Rahman dengan berat hati telah memutuskan penyingkiran Singapura daripada Malaysia. Tidak cukup dengan itu, bagi membuktikan keseriusan kerajaan membela nasib orang-orang Melayu, kerajaan telah mengambil inisiatif menyediakan pelbagai peluang pendidikan khusus untuk orang-orang Melayu seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM). Anak-anak Melayu juga diberikan bantuan pendidikan seperti bantuan pendidikan MARA, JPA dan yayasan negeri di samping pelbagai bantuan biasiswa. Memandangkan masyarakat Melayu juga kurang memiliki simpanan, kerajaan telah mengusahakan ASB yang mana pelaburannya hanya terbuka kepada masyarakat Melayu dan Bumiputera sahaja. Orang-orang Melayu juga mendapat keistimewaan tanah rizab dan potongan harga apabila ingin membeli rumah selain kerajaan memperkenalkan FELDA untuk memperbaiki taraf kehidupan orang-orang Melayu.

Banyak sebenarnya kalau ingin disenaraikan. Takut orang je tak terbaca (I pun tak tertulis). Maklumlah, dah berpuluh tahun memerintah kita. Itu baru beberapa lapangan, belum lagi menyentuh tentang teknologi, perbankan, perniagaan, hartanah, kejuruteraan… Ah, senang cerita terlalu banyaklah! Itukah apa yang dikatakan sebagai tak membela Melayu? Justeru, kalau kerajaan tidak membela Melayu, siapa yang membela Melayu? PR ke? Jom kita tengok beberapa tindakan PR yang ‘membela’ Melayu. Diingatkan, ni beberapa sahaja ke… sebenarnya ada banyak lagi…

Bermula dengan ingin menjadikan ‘Malaysian Malaysia’, hak dan taraf semua warganegara ingin diseragamkan. Sejarah jelas menunjukkan bahawa penduduk asal negara ini adalah masyarakat Melayu. Namun begitu, kita tidak pernah menolak kehadiran masyarakat Cina dan India malah, kita menghormati mereka, juga sebagai rakyat negara ini. Buktinya, dalam kita mempertahankan hak-hak Melayu, kita tidak mengambil apa yang telah memang menjadi hak mereka dan kita tidak pula menafikan keperluan mereka. Sebagai ganti kepada kesediaan Melayu berkompromi berkongsi tanah air mereka dengan masyarakat Cina dan India, kita menuntut agar Melayu dijamin hak mereka dalam beberapa perkara dan situasi sama-sama menang ini sememangnya telah dipersetujui oleh semua pihak. Ia menjadi kontrak sosial yang dipegang oleh semua sehinggalah timbulnya gagasan ‘Malaysian Malaysia’ yang mengancam orang-orang Melayu. Lebih menyedihkan, PKR dan PAS yang sama-sama mendakwa mereka berjuang atas semangat bangsa turut bersengkongkol dengan DAP.

Melayu dan Islam memang sangat sinonim. Justeru, apabila bercakap tentang Melayu, perlu juga untuk kita memperkatakan tentang Islam. Bagaimana selama ini UMNO dan BN berjuang memartabatkan Islam sehingga agama ini muncul sebagai agama rasmi Malaysia. Sayangnya, PR seolah-olah menafikan hak agama ini sebagai agama nombor satu negara apabila terdapat wakil rakyat mereka yang menegah laungan azan dengan alasan bising dan mengganggu tidur kita. Assalammua’laikum orang-orang Islam, kalian tak rasa apa-apa ke dengan usul tegahan ni? Selain itu, usul tegahan penggunaan tulisan jawi dalam papan tanda di negara ini juga turut dikemukakan. PAS dan PKR buat apa? Sekadar berdiam diri sebagai tanda itulah usaha dan bakti mereka dalam membela Melayu.

Penat aje BN merancang pelbagai dasar terutamanya DEB yang selama ini banyak membantu orang-orang Melayu memperbaiki taraf hidup mereka tiba-tiba, apabila PR menang di beberapa buah negeri, DEB dihapuskan. Ketua pembangkang mereka yang sangat lantang berkempen ingin memperbaiki nasib orang-orang Melayu dan orang-orang bawahannya langsung tidak mempertahankan dasar ini sebaliknya mengambil pendekatan selamat dengan sikap tidak masuk campur. Bukankah sikap itu mencerminkan betapa mereka itu sebenarnya mementingkan diri dan kedudukan? Kenangkanlah nasib sedara-sedara kita di Kedah dan di Pulau Pinang sana…

Di Selangor pula, baru beberapa ketika membentuk kerajaan, PR telah mengumumkan pembukaan kuota UiTM kepada bangsa bukan Melayu sedangkan telah termaktub dalam perlembagaan yang mana UiTM itu ditubuhkan dengan misi menyediakan peluang pendidikan peringkat tertier kepada anak-anak Melayu terutamanya yang datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan. Selain itu, cukai pintu juga dinaikkan dalam kadar yang sangat banyak sehingga membebankan rakyat. Konon nak turunkan harga minyak, baru pegang ebberapa negeri dah naikkan cukai pintu. Kalau pegang Malaysia entah-entah semua benda pun naik harga!!! Tapi, yang paling keterlaluan tentu sahaja isu pemberian hak tanah selama 1000 tahun kepada orang-orang Cina. Hai PAS dan PKR… bagus betul tindakan membela bangsa U all tu!!

BN melakukan politik wang ketika pilihan raya? Ya, memang tidak dapat dinafikan bahawa ada segelintir pemimpin BN yang melakukan tindakan ini TETAPI, apakah jejaka budiman dapat memberikan I satu jaminan bahawa perkara seumpama ini tidak berlaku dalam kalangan pemimpin pembangkang? Hello saudara jejaka budiman, U ada baca paper x? Last week dalam Sinar (muka depan lagi), Tok Guru Nik Aziz dengan tegas mengutuk perbuatan sesetengah ahlinya yang melakukan politik wang dalam beberapa pilihan raya kecil. Itu belum jadi pemerintah, kalau dah memimpin Malaysia macam mana pulak politik wang mereka agaknya? Boleh kalau nak mengecam tindakan kerajaan tapi pembangkang kenalah pastikan yang mereka tak lakukannya. Takdelah nanti makan diri sendiri. Dua kali lima, mengata orang, mereka sendiri apatah lagi!!!

Isu korupsi pulak... Seperti juga politik wang, I sama sekali tidak menafikan kebarangkalian kewujudan perkara ini Cuma, apa yang I perasan, kerajaan mula berubah. Di bawah pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi, beliau bersikap telus dan tegas dalam menangani masalah korupsi para pemimpin BN. Buktinya berapa ramai pemimpin BN yang telah dihadapkan ke mahkamah dengan pertuduhan korupsi. Malah, BPR juga dinaik taraf menjadi suruhanjaya dalam usaha untuk memastikan ia lebih berkecuali dan bebas dalam menjalankan fungsinya. Para pemimpin BN diminta untuk mengisytiharkan asset yang mereka miliki untuk mencegah korupsi. Dalam kalangan pembangkang ada buat macam ni ke? Baru je mendapat kuasa, dah tukar kenderaan negeri. Beli Camry yang harganya ratusan ribu ringgit, YB Datuk Seri Khalid di Selangor tu apa cerita? Berzakat dengan wang kerajaan? Beli 46 ekor lembu dengan harga RM110,400 kononnya untuk dibuat zakat tapi lembu ke mana, zakatnya ke mana. Ada ke berzakat pakai duit kerajaan? Dah tu, kereta peribadi beliau rosak, beliau hantar baiki dengan menggunakan wang kerajaan. Amboi, menyalah guna kuasa nampak! Itu belum lagi kisah puluhan Camry yang dibeli oleh PR untuk dijadikan kenderaan rasmi Nizar dan para exconya di Perak. Jadi, layakkah mereka mahu menghukum kerajaan kononnya corrupt sedangkan mereka sendiri pun mengamalkannya…

Tak sudah-sudah dengan hukum hudud. Malaysia ni negara berbilang etnik dengan pelbagai sensitivity perkauman. Untuk melaksanakan hukum hudud bukanlah semudah yang dicakap. Banyak perkara perlu diambil kira. I tak cakap yang I tak sokong pelaksanaan hukum hudud cuma melihat kepada faktor rasional, bagi I apa yang penting, selagi kepimpinan sedia ada tegas mempertahankan hak-hak Islam sebagai agama rasmi negara, kita masih perlu bersyukur. U all rasa kalau PR berjaya membentuk kerajaan, akan terlaksanakah hukum hudud tu? Bukalah mata, jangan terpedaya dengan propaganda politik mereka. Tengok ajelah situasi semasa. Belum lagi menjadi pemerintah, sudah pandai-pandai merancang mahu menghapuskan laungan azan.

Pemerhatian yang lebih mudah lagi, lihat sahaja di Kelantan, Islam sangat menitik beratkan soal kebersihan tetapi apabila kita mengunjungi negeri Cik Siti Wan Kembang ini, seruan islam tidaklah sepenuhnya terlaksana. Tandas-tandas awam dan gerai-gerai penjaja sangatlah kotor. Perkara mudah, menjaga kebersihan pun tidak dapat mereka laksanakan dengan baik, inikan pula membabitkan masalah perundangan yang lebih kompleks. Hai, alamat haru-birulah Malaysia.

Persoalan tentang Islam Hadhari pula, nampak sangat jejaka budiman sangat dangkal pengetahuannya tentang konsep yang satu ini. Islam Hadhari itu sebenarnya bukanlah cabang Islam baru yang dicipta oleh Pak Lah cuma, Pak Lah memperkenalkan Islam Hadhari yang mempunyai 10 prinsip dengan tujuan agar masyarakat Islam menjadi kelompok yang lebih baik, bersatu hati dan memperbaiki prestasi ummah. Islam Hadhari diperkenalkan ketika Islam bergolak di peringkat global dengan dituduh sebagai pengganas dunia. Justeru, Pak Lah mengambil pendekatan dengan memperkenalkan 10 prinsip Islam Hadhari sebagai salah satu cara untuk menyekat fahaman Islam sebagai pengganas, memberitahu dunia bahawa masyarakat Islam di Malaysia adalah masyarakat Islam yang bersedia menerima kemajuan, bersikap terbuka di samping terus mengekalkan nilai-nilai keislaman.

Seterusnya, jejaka budiman mendakwa BN malu sendiri kerana pembangkang telah menerajui lima negeri. Ketika I memberitahu dakwaan ini kepada seorang teman sepejabat I, tergelak dan menggeleng kepala dia. Katanya, BN tak perlu rasa malu pun dengan kemenangan pembangkang itu cuma mereka perlu menganalisis punca dan kelemahan yang terjadi sehingga wujud perubahan undi dalam kalangan masyarakat. Sebaliknya, pembangkang yang perlu berasa malu kerana baru diberi mandat mentadbir lima negeri, sudah begini huru-hara yang timbul. Nampak sangat pembangkang tidak mempunyai kemampuan mentadbir Malaysia. Ya, I bersetuju dengan kata-kata teman sepejabat I. Sejak sekian lama BN memerintah, tiada pun keadaan yang sebegini kacau terjadi. Tiada pun kemelut politik yang tak berkesudahan, tiada pun ulangan pilihan raya kecil disebabkan oleh perkara-perkara remeh.

Persoalan koridor, kerajaan tidak menghabiskan duit rakyat sebenarnya. Cuma, mungkin memang kecenderungan masyarakat Malaysia. Mereka lebih suka untuk memilih janji-janji yang bersifat serta-merta. Mungkin juga mereka lebih mudah terpengaruh dengan apa yang berada di depan mata. Kesan dan faedah daripada projek-projek koridor kerajaan ini hanya boleh dinikmati selepas suatu tempoh masa yang panjang. Kerana itulah mereka merasakan projek koridor kerajaan merugikan wang rakyat. Kalau membangunkan pelbagai koridor itu jejaka budiman katakan sebagai membazir, bagaimana pula dengan tindakan menukar kenderaan rasmi negeri oleh pembangkang sedangkan kenderaan rasmi sedia ada masih elok? Bagaimana pula dengan pelbagai siri pilihan raya kecil yang dirancang pembangkang dengan membabitkan kos kempen yang besar? Tolonglah respon, yang mana sebenarnya lebih membazir?

Apabila kita tidak menjadi kelompok yang memerintah, kita memang akan hanya pandai bercakap, menuding jari itu dan ini kepada kerajaan sebab bercakap tidaklah sesukar mana. Kita menyalahkan kerajaan dengan kenaikan harga minyak dan meminta agar kerajaan menambah subsidi tetapi apabila masyarakat kita dipanggil sebagai masyarakat subsidi, kita melenting pula. Tindakan kerajaan menaikkan harga minyak bukanlah atas dasar suka-suka sebaliknya ia adalah disebabkan oleh kenaikan harga minyak dunia yang jelas di luar kawalan kerajaan kita. Berkali-kali juga kerajaan menerangkan mengapa perolehan petronas tidak boleh digunakan sebagai subsidi tapi ternyata semua penerangan itu hanyalah ibarat mencurah air ke daun keladi.

Mengapa tidak kita melihat kenaikan harga minyak ini daripada aspek yang lebih positif?. Dengan kenaikan harga minyak, mutu perkhidmatan kenderaan awam kita akan menjadi lebih baik daripada sebelum ini. LRT, bas-bas awam dan teksi akan meningkatkan prestasi mereka sekaligus menarik lebih ramai pengguna. Apabila ramai yang menggunakan kenderaan awam, kesesakan lalu lintas juga akan dapat dikurangkan. Lagipun, kerajaan boleh menggunakan subsidi untuk menurunkan harga minyak itu untuk sektor-sektor lain seperti pendidikan dan perubatan. Saban hari ada sahaja media melaporkan tentang rakyat Malaysia yang menderita penyakit kronik tetapi tidak mampu mendapatkan rawatan lanjut kerana tidak mampu. Dalam sektor-sektor seperti inilah kerajaan seharusnya menyuntik lebih subsidi.

Terakhir, dakwaan kononnya kerajaan tidak menunaikan tanggungjawab pada bangsa dan negara dan mengkhianati amanah rakyat. Kalau hendak bercerita tentang amanah, tindakan Datin Sri Azizah mengosongkan kerusi Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada suaminya itu melambangkan beliau sendiri tidak menunaikan tanggungjawab pada bangsa dan negaranya. Setelah menabur pelbagai janji dalam kempen-kempen pilihan raya, beliau meletakkan jawatan dengan sewenang-wenangnya. Tinggallah segala janji begitu sahaja. Amanah yang rakyat letakkan di bahu beliau dipersia-siakan. Begitu juga dengan siri pilihan raya kecil yang lainnya. Pembangkang sewenang-wenangnya mengosongkan kerusi mereka tanpa alasan yang digariskan oleh perlembagaan. Tidakkah itu mengkhianati amanah rakyat. Setelah mendapat kepercayaan, semua itu dipersia-siakan.

Dengan semua hujah balas ringkas I terhadap jejaka budiman (sebenarnya banyak lagi yang I nak tulis tapi banyak pulak kerja lain), I harap jejaka budiman dan kita semua dapatlah berfikir dengan rasional dan menilai semula apa yang ada di depan mata. Janganlah kita hanya pandai menghukum tanpa menilai terlebih dahulu. Jangan hanya kerana satu dua kekurangan, kita terus menafikan seribu satu kelebihan yang selama ini telah kita nikmati.

Renung-renungkanlah!!!

2 comments:

Anonymous said...

I org selangor. Negeri I pembangkang pgg. huh, tunggang langgang!!! Nak respon ckit article u.mmg byk pbzrn pbgkg wat. rkyt pon mudah jerk tpdya dgn jnj mi sgera pbgkg. bnd2 short term, pulangannyer pon kjp jerk! mstlah lg mbzr beli camry drp labur utk rkyt. otak tarak ka?

wanfeedahoney said...

malangnya, tingkah laku pengundian dalam kalangan pengundi terutamanya pengundi muda dan orang-orang Melayu sekarang cenderung menunjukkan ke arah pengundian yang berdasarkan kepada janji-janji populis. rakyat lebih suka mengundi calon wakil rakyat yang boleh memberikan benda yang serta-merta. Rakyat kita lebih tertarik dengan janji untuk diberikan ikan berbanding dengan janji diberikan joran sedangkan diorang tak sedar yang ikan akan habis lepas dimakan!!!

Post a Comment