Perlembagaan Malaysia... bukan untuk pertikaian

Friday, July 3, 2009

Isu mengenai perlembagaan di negara ini semakin pelbagai dan yang terburuk adalah kemelut pertikaian mengenai kontrak sosial yang telah menjadi iktikad semua rakyat Malaysia sejak sekian lama. Hal ini antara lain adalah disebabkan oleh ketidakfahaman masyarakat terhadap perlembagaan itu sendiri.

Menurut K. Ramanathan (2003), Perlembagaan ditakrifkan sebagai prinsip dasar dalam mengasaskan sesebuah negara dan boleh dianggap sebagai medium untuk mencorakkan bentuk pemerintahan yang diperkenalkan serta menyatakan adat proses perundangan di negara berkenaan.

Perlembagaan merupakan suatu dasar atau formula yang menyatakan bagaimana kuasa-kuasa awam di dalam sesebuah negara dibahagikan dan digunakan. Ia juga merupakan prinsip asas yang merangkumi nilai-nilai utama sesebuah negara dan masyarakat setempat.

Selain itu, perlembagaan juga boleh dianggap sebagai tulang belakang sesebuah negara kerana ia muncul serentak dengan pembentukan sesebuah negara. Perlembagaan Malaysia merupakan undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu.

Perlembagaan Persekutuan mempunyai 183 Perkara yang dibahagikan kepada 15 Bahagian. Perlembagaan Persekutuan mempunyai peruntukan-peruntukan mengenai perkara seperti kebebasan asasi rakyat, kewarganegaraan, badan perundangan, badan pemerintah, badan kehakiman, kewangan, pembahagian kuasa antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan-kerajaan negeri, kedudukan istimewa orang melayu, tanah, pembangunan negara, perkhidmatan awam dan pilihan raya.

Perlembagaan amat diperlukan untuk memajukan institusi negara dan untuk mencorakkan tingkahlaku pemerintahan dan rakyat negara berkenaan. Setiapkali apabila berlakunya sesuatu konflik, perlembagaan akan dirujuk bagi mencari penyelesaiannya. Ini adalah kerana, perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi di Malaysia.

Konsep ketertinggian perlembagaan boleh menyebabkan sesuatu undang-undang persekutuan mengenai sesuatu perkara persekutuan boleh diisytiharkan tidak sah oleh mahkamah jika undang-undang itu bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia.

Di dalam Perkara 4(1) memperincikan secara jelas mengenai undang-undang utama persekutuan yang berbunyi :-

Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu.

Seorang ahli politik terkemuka Robert A. Dahl menyatakan sistem politik di sesebuah negara yang berubah mejadi kompleks menuntut perlembagaan untuk memainkan peranan politiknya iaitu dengan mengariskan corak pentadbiran dan pembahagian kuasa untuk memudahkan pemerintahan.

James Bryce berpendapat perlembagaan mampu menjadi aras tanda kepada satu adat perjalanan kehidupan negara yang akan melibatkan keputusan undang-undang yang kompleks dan dibina menurut kesesuaian sistem pemerintahan sesebuah komuniti.

Perlembagaan merupakan dokumen yang menggariskan prinsip pembahagian kuasa. Oleh itu, rakyat perlu mempunyai pengetahuan yang sepatutnya berkenaan Perlembagaan supaya Perlembagaan tidak hanya menjadi milik eksklusif para golongan undang-undang seperti hakim dan peguam. Rakyat perlu tahu akan hak asasi mereka yang terkandung di dalam Perlembagaan.

Ketiadaan pengetahuan mengenai Perlembagaan Malaysia ini akan menyebabkan kita kehilangan hak lantaran terdapatnya pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan dengan membelakangkan konsep ketertinggian perlembagaan itu sendiri.

Keadaan seumpama ini dapat dilihat dalam polemik politik semasa yang memperlihatkan kepada kita bagaimana parti-parti pembangkang secara terang-terangan melanggar dan mencabul perlembagaan yang sedia ada.

Dalam isu pilihan raya misalnya, telah termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia bahawa setiap siri pilihan raya kecil yang ingin dijalankan hendaklah bertunjangkan kepada alasan-alasan yang diterima oleh perlembagaan seperti kematian, perlucutan jawatan wakil rakyat terbabit ekoran tindakan undang-undang atau muflis.

Malangnya hari ini, pembangkang mengatur satu demi satu konspirasi pilihan raya kecil dengan pelbagai alasan yang kebanyakannya tidak dipersetujui oleh perlembagaan seperti perletakan jawatan Datin Sri Wan Azizah untuk memberi laluan kepada suaminya bertanding di kerusi Permatang Pauh.

Pembangkang seolah-olah mempermainkan rakyat dan mengkhianati amanat bangsa dan agama apabila mereka bertanding dan berundur dengan sewenang-wenangnya. Tindakan BN untuk memulaukan pilihan raya kecil Penanti emrupakan suatu tindakan yang bijak dalam menangani percaturan politik picisan pembangkang.

Begitu juga dengan isu ketuanan dan keistimewaan Melayu. Perkara ini telah dinyatakan dengan jelas melalui kontrak sosial yang diterima pakai sekalian rakyat Malaysia sejak negara ini mencapai kemerdekaannya pada 31 Ogos 1957 lagi.

Hari ini DAP melalui konsep ‘Malaysian Malaysia’, menuntut hak kesamarataan untuk semua kaum di Malaysia. DAP mahu menggantikan konsep ketuanan Melayu dengan ketuanan rakyat.

Telah kita sedia maklum bahawa kedudukan istimewa orang-orang Melayu merupakan suatu timbal balas yang diberikan lantaran daripada kesudian penduduk asal negara ini membuka pintu untuk memberikan kerakyatan kepada satu juta orang bangsa Cina dan India. Sejak sekian lama, kita hidup aman berpaksikan kepada kontrak sosial ini.

Akan tetapi, pembangkang seolah-olah sengaja meniupkan api perkauman apabila mereka menuntut supaya hak keistimewaan orang-orang Melayu dihapuskan. Tuntutan mereka ini telah mewujudkan suatu suasana kehidupan penuh prasangka; orang-orang Melayu meragui orang-orang Cina dan India dan bangsa bukan Melayu ini pula bersikap skeptikal terhadap orang-orang Melayu dan agama Islam.

Lebih teruk lagi, pembangkang dengan berani telah mencabar kedudukan istimewa raja-raja Melayu. Hal ini dapat dilihat antaranya melalui tindakan Nizar yang memohon sembah derhaka kepada DYMM Sultan Perak dan kenyataan terbuka Karpal Singh yang menyatakan hasratnya untuk menyaman DYMM Yang Di-Pertuan Agung.

Perlembagaan yang menjadi ibu segala undang-undang di Malaysia ini perlulah dijunjung dan dipertahankan. Malangnya, apabila kerajaan memperlihatkan usaha yang bersungguh-sungguh untuk melindungi perlembagaan dan kontrak sosial, rakyat seolah-olah tidak sedar dengan sandiwara pembangkang dan kelihatan seperti langsung tidak terjejas dengan satu demi satu manipulasi yang dilakukan oleh pembangkang ke atas perlembagaan negara kita.

Sekiranya keadaan seperti ini berterusan, adalah sangat dikhuatiri ia akan menjadi pembunuh senyap kepada negara amnya dan orang-orang Melayu khasnya. Justeru, rakyat perlulah menunjukkan bantahan di atas sikap tidak bertanggungjawab pembangkang terhadap kedudukan perlembagaan Malaysia demi memastikan hak dan kepentingan mereka terbela.